Image Widget

Image Widget

.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:. PSS AZ-ZARNUJI .:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:. SK SEBERANG JAYA

.

PSS AZ-ZARNUJI




SEJARAH PUSAT SUMBER AZ-ZARNUJI
SK SEBERANG JAYA

          Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya, Persiaran Siakap mula dibuka pada 1 Januari 1983. Guru Besar yang pertama ialah Tuan Haji Ariffin b. Saad. Bilangan murid yang berdaftar pada waktu ini ialah sekitar 500 orang.

          Apabila sekolah mula dibuka, maka PSS juga turut mula beroperasi demi memenuhi kehendak p&p. Perpustakaan yang pertama telah beroperasi di Blok B dengan keluasan sebuah bilik darjah sahaja. Koleksi buku pada masa ini hanyalah sekitar 500 buah buku sahaja. Namun begitu, ianya telah bertambah seiring dengan masa. Buku-buku diperoleh secara pembelian menerusi wang yang diperuntukkan oleh kerajaan serta sumbangan daripada individu dan Bank Dunia.

          Apabila beberapa buah bangunan baru didirikan, maka PSS juga turut menerima tempiasnya kerana perpustakaan terpaksa berpindah ke Blok D untuk menampung keperluan yang kian bertambah. Murid-murid yang ada pada waktu ini lebih kurang 1000 orang semuanya.

          Di Blok D, pusat sumber telah ditempatkan bersebelahan dengan Bilik Mesyuarat, Bilik Tayangan dan Bilik BBM. Pusat sumber kini lebih luas dan selesa. Keluasannya adalah lebih kurang 4 buah kelas.

          Pada waktu ini, SKSJ berada di bawah pentadbiran Encik Abd. Rahman b. Yahaya sebagai guru besar. GPM ketika ini ialah Pn. Sarina bt. Mohamad. Pusat sumber yang baru telah melalui pelbagai pembaharuan dan berwajah baru sepenuhnya. Proses untuk mengemas dan menghias pusat sumber mengambil masa yang agak lama iaitu kira-kira setahun untuk siap sepenuhnya.

          Koleksi buku-buku juga telah meningkat sehingga 10,000 buah. Pelbagai sudut baru diwujudkan untuk memenuhi kehendak semasa. Kemudahan Bilik Tayangan juga turut ditingkatkan dengan adanya siaran TV ASTRO yang dibekalkan oleh pihak kementerian.

          Pada tahun 2005, PSS telah diambil alih Pn. Nur Ainun bt. Abd. Rahim apabila Pn. Sarina bertukar ke SK Ara Rendang. Guru besar pada masa ini ialah Encik Shuib b. Sulaiman. Di bawah pimpinan Pn. Nur Ainun, pelbagai aktiviti telah diadakan untuk menarik minat murid-murid ke pusat sumber. Namun begitu, tempoh perkhidmatan beliau di sini agak singkat kerana terpaksa berpindah mengikut suaminya ke Kuala Lumpur pada pertengahan 2006.

          Untuk meneruskan kerja-kerja Pn. Nur Ainun yang telah dirancang, maka Pn. Azizah bt. Ismail telah memangku tugas sebagai GPM sehingga berakhirnya tahun 2006.

          Apabila penggal baru persekolahan bagi tahun 2007 dibuka, PSS diteraju pula oleh GPM baru iaitu Pn. Norul Ashikin bt. Shamsuddin. Beberapa perubahan telah dilaksanakan dalam usaha meningkatkan taraf perkhidmatan PSS dan seterusnya menjadi salah satu PSS yang cemerlang.

          Usaha dan tumpuan banyak diberikan terhadap penstrukturan semula AJK Kerja serta keceriaan pusat sumber. Pelebaran maklumat ke rangkaian-rangkaian PSS di sekitar kawasan sekolah turut dipertingkatkan. Lebih banyak sudut-sudut ilmu yang diadakan untuk dimanfaatkan oleh para guru dan murid.

          Pada 13 Mei 2008, satu rombongan daripada Satun, Selatan Thailand telah datang membuat lawatan kerja ke PSS SK Seberang Jaya. Mereka terdiri daripada kalangan guru, pekerja professional, polis serta pemimpin persatuan penduduk kampung. Kehadiran mereka telah diberikan sambutan meriah dengan kerjasama JPN Pulau Pinang.

          Pada akhir tahun 2008, PSS SKSJ telah terpilih sebagai salah sebuah sekolah yang berjaya memasuki peringkat akhir Pertandingan PSS Cemerlang Peringkat Negeri Pulau Pinang. PSS SK Seberang Jaya telah dinobatkan sebagai pemenang Tempat Ketiga PSS Cemerlang Kategori Bandar Peringkat Negeri Pulau Pinang. Bermula dari tarikh inilah PSS SK Seberang Jaya telah dipilih oleh PKG Seberang Jaya sebagai PSS Contoh untuk kawasan Seberang Jaya.

          Pada bulan Oktober 2009, pusat sumber sekolah ini telah menerima peruntukan untuk menaik taraf lantai. Sebelum ini lantai PSS hanayalah beralaskan permaidani sahaja. Melalui peruntukan ini, jubin merah telah dipasang menjadikan PSS lebih bersih dan luas.

          Proses ini telah selesai dengan sempurnanya pada akhir tahun 2009. Awal tahun 2010, pusat sumber sekali lagi bertukar wajah dari segi pelan susun atur, perabot yang ada serta kemudahan yang disediakan kepada semua warga SKSJ.

          Malang tidak berbau. Tanggal 18 Januari 2011 sekitar jam 10.20 pagi, satu kebakaran telah berlaku yang memusnahkan seluruh Pusat Akses yang terletak bersebelahan dengan PSS. Walaupun pusat sumber tidak mengalami sebarang kebakaran tetapi kesan kebakaran Pusat Akses telah menyebabkan seluruh PSS terjejas teruk. Sekali lagi pusat sumber terpaksa dikosongkan untuk kerja-kerja baik pulih. Pihak BTPN Pulau Pinang bersama-sama dengan PKG Seberang Jaya telah memberikan kerjasama dengan mengadakan Khidmat Bantu Kecemasan pada 7 hingga 10 Februari 2011 dibantu oleh 9 orang AJK  Kerja PSS. Selepas 3 bulan, PSS SK Seberang Jaya dibuka semula untuk operasi pada 18 April 2011 untuk kegunaan semua warga SK Seberang Jaya.

            Tanggal 12 Mei 2014, Pusat Sumber SK Seberang Jaya telah melalui satu proses penjenamaan semula dengan menamakan semula pusat sumber kepada PUSAT SUMBER AZ-ZARNUJI, SK SEBERANG JAYA. Satu pertandingan telah diadakan untuk mencari nama yang sesuai kepada pusat sumber. Pertandingan dibuka kepada semua murid, guru, waris, bekas pelajar dan penduduk sekitar serta diwar-warkan secara meluas melalui facebook PSS SKSJ.

            Az-Zarnuji merupakan seorang tokoh ilmuan Islam yang terkenal dalam bidang pendidikan; sesuai dengan fungsi Pusat Sumber Az-Zarnuji yang mengutamakan ilmu dan pendidikan.



.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.

FALSAFAH PSS AZ-ZARNUJI
SK SEBERANG JAYA

          Pusat Sumber Sekolah merupakan satu tempat menjalankan aktiviti ke arah melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Hal ini merupakan satu konsep yang banyak menumpukan kepada pengurusan yang sistematik, berpusat dan menyeluruh yang dapat memberi faedah dan perkhidmatan yang maksima kepada guru-guru dan pelajar.

          Pusat Sumber Sekolah berfungsi sebagai pengumpul, penyusun dan penyimpan maklumat dalam satu sistem yang senang difahami dan mudah dikesan. PSS juga bertindak sebagai penyebar bahan-bahan maklumat dengan cepat dan segera apabila diperlukan.

          Pusat Sumber adalah sebagai satu sistem perkhidmatan yang membolehkan semua pihak diperingkat sekolah mencapai matlamat-matlamat kurikulum. Fenomena ini akan menggalakkan perkembangan intelektual, rohani, emosi dan jasmani yang seimbang.



.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.



VISI PSS AZ-ZARNUJI
SK SEBERANG JAYA

Ke Arah Pusat Sumber Cemerlang Demi Untuk Pendidikan Gemilang

.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.

MISI PSS AZ-ZARNUJI
SK SEBERANG JAYA

PSS SK Seberang Jaya berazam dan bertekad dengan penuh iltizam untuk memastikan PSS ini akan menjadi nadi ilmu sekolah ke tahap maksima, membantu meningkatkan pencapaian akademik murid, mewujudkan PSS yang mesra pengguna, tempat rujukan utama guru dan murid selaras dengan hasrat menjadi PSS Cemerlang di peringkat negara.


.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.


OBJEKTIF PSS AZ-ZARNUJI
SK SEBERANG JAYA

  • Meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran, menonjolkan potensi serta sahsiah diri
  • Menggalakkan murid dan guru menggunakan pelbagai kemudahan pembelajaran agar mereka tidak bergantung kepada buku teks dan kaedah tradisional sahaja
  • Memupuk tabiat belajar sendiri, membaca dan menyelidik melalui pencarian dan penggunaan maklumat secara sistematik.

.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.:.